![]() |
Menunggu Mas Yanto untuk ke Kawah Putih |
Bau sulfur menusuk hidung dari kejauhan lagi. Sayup kedengaran suara kanak-kanak yang di panggil artis jalanan menyanyikan lagu-lagu irama jawa. Seperti di Tangkuban Perahu, di sini juga terdapat peniaga yang mengejar pelancung untuk menjual barang dagangan mereka. Bezanya peniaga di sini tidak seramai di Tangkuban Perahu malah barang dagangannya juga tidak pelbagai. Yang pastinya topeng muka adalah dagangan utama selain buah strawberi. Awas sekiranya anda ke sini dan tiba-tiba hujan turun, anda mempunyai pilihan samada untuk berlari terus ke kereta atau pun ke tempat berteduh yang terhad. Terdapat juga orang yang bersedia menyewakan payung dengan bayaran 10,000 rupiah (kira-kira RM3.50). Menurut Mas Yanto kebiasaannya hujan akan turun pada waktu tengahari atau pun petang. Jadi kebanyakan pengunjung dinasihatkan bertolak awal pagi sekiranya ingin ke sana seperti yang kami lakukan.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgczI737uW4zLPBjuVaOziaKtl8PaU6byda4y8cQgL8IeBp8bhf7DOcf3YR4w32Is3886X-KNha7zeZ58PuQC3fA2ARtwmhOanOPH5ZZV-3FMeN50DgGX9wGc1ZtfZYFA29sqjsjQ/s320/image+27+%2528Small%2529.jpg)
Sebaik tiba, kami terus menuju ke Jalan Riau meninjau kedai-kedai barang berjenama. Ketika inilah perut baru terasa lapar. Tinjauan disingkatkan kerana kami kurang berminat. Beberapa FO yang dikunjungi tidak menarik minat kami untuk mengeluarkan duit. Perancangan asal untuk menghabiskan hari tersebut dengan menghabiskan masa meronda kebanyakan FO samada di Jalan Riau atau Jalan Dago. Pak Dudi sendiri telah mengingatkan kami di awal pagi sebelum bertolak ke Kawah Putih kerana itulah hari terakhir kami dapat meronda Bandung. Agak kecewa dengan suasana di Jalan Riau, isteri aku kata beg yang dijual seolah-olah di pasar malam. Aku yang berura-ura mencari kasut juga agak kecewa kerana tidak ada yang berkenan di hati. Puas juga aku cuba memujuk hati, tapi memang tiada yang dapat menarik duit keluar dari beg yang aku pakai.
Oh ye...aku terlupa untuk menyatakan bahawa sebelum kami berangkat ke Bandung, semua duit untuk pembiayaan telah diasingkan. Tujuannya supaya kami tidak tersilap mengambil duit dan terlebih bajet. Almaklumlah duit Indonesia banyak angka kosongnya. Malahan warna duit juga agak sama. Untuk mengelakkan kekeliruan kami ikat dan labelkan semua duit. Ada juga kawan yang mengasingkan duit di dalam sampul yang telah dilabelkan. Kita tidak akan risau jika pengasingan telah dibuat. Apa yang penting adalah duit cukai lapanganterbang, sewa kenderaan, bayaran masuk ke tempat-tempat kunjungan seperti yang saya nyatakan di atas. Selesai semua itu, kita akan dapat berjalan dengan tenang kerana tahu berapakah anggaran perbelanjaan yang ingin dilakukan.
Kelaparan...lantas kami mengajak Mas Yanto untuk ke kedai kek yang terkenal di Bandung iaitu Kartika Sari. Tanpa di sangka kedudukannya juga terlalu hampir dengan hotel penginapan. Sebagaimana kami boleh berulang alik berjalan kaki ke Pasar Baru, begitu jugalah kedai Kartika Sari ini. Naik ke lantai 2 (kita sebut aras atau bahasa orang putihnya level) terdapat kiosk yang menjual makanan. Perut yang lapar membuatkan kami berselera makan. Nasi Kuning menjadi pilihan aku. Sebelum ini aku pernah terlihat nasi ini di dalam satu rancangan tv. Tidak disangka aku dapat merasainya di Bandung. Beras yang ditanak menggunakan santan dan sedikit kunyit, seakan nasi lemak juga.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgIVIpMshL6D7OInC5y-J0KW9rw4PmQCUeOPzLK9zvTiNA0Cl7qAnSJNx2s0MetCVGK0IBZMwt_Qtjipb-B9eC-fkzH8QHPqieTNc_IYbPnTJWO1eN1NqpUjJ6t38lHgQA4_Q9aog/s320/image+30+%2528Small%2529.jpg)
Tiba di hotel dalam keadaan letih (capek), aku mengucapkan terima kasih kepada Mas Yanto kerana membawa kami melawat Bandung. Penerbangan ke Kuala Lumpur pada 2.30 petang dan dia pula akan membawa pelancung ke Jakarta. Bermakna selesai sudah tugasnya membawa kami berjalan-jalan sekitar Bandung. Lelaki berumur 50 tahun itu begitu sabar melayan karenah kami sepanjang 2 hari ini. Tugas menghantar kami ke airport akan diambil alih oleh Pak Dudi.
bersambung...
No comments:
Post a Comment