Thursday, January 20, 2011

Resepi warisan

2 minggu sebelum emak aku sakit kuat dan meninggalkan dunia yang fana ini, Iken sempat bertanyakan tentang resepi kuih kemboja yang selalu emak buat. Kuih ini adalah yang paling kerap arwah dapat tempahan semasa hayatnya kerana keasliannya. Manis dan lemaknya tak boleh digambarkan di sini. Sesiapa yang pernah merasa sudah tentu akan membuat tempahan berulang. Kini setelah pemergiannya Iken mencuba resepi yang diperolehinya kerana takut terlupa katanya. Sepatutnya dia bercadang untuk memberi arwah merasa dahulu hasil tangannya, tapi perancangan Allah tiada siapa yang mengetahui.

Tuesday, January 18, 2011

Tahlil Arwah

Malam ini kami adik beradik mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk para arwah yang telah pergi mengadap Ilahi. Jika dahulu majlis sebegini akan diselia oleh emak, tapi kini tiada lagi suaranya yang mengaminkan doa memohon kesejahteraan. Setelah ketiadaan orang tua, kami sedar seharusnya diadakan majlis sebegini atau pun perjumpaan adik beradik dengan lebih kerap. Tujuannya supaya hubungan yang sedia terjalin makin bertambah akrab.

Nota:- Gambar terakhir yang sempat dirakam bersama ahli keluarga pada 2 tahun lepas.

Sunday, January 16, 2011

Tinggal kenangan


Hari ini 16hb Januari 2011 telah membawa berita sedih kepada kami sekeluarga. Riwayat hidup emak berakhir disahkan doktor bertugas di Wad 3A, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pad jam 2.40 petang. Setelah menanggung derita akibat kanser usus pada tahap 3 selama hampir 2 tahun, dan dalam 2 minggu terakhir sebelum hari ini dia tidak dapat merasai nikmat makan dan minum kerana setiap kali makanan masuk tentunya segala yang dimakan tadi akan dimuntahkan semula. Malahan apa yang keluar jumlahnya cukup banyak melebihi apa yang dimakan.

Hari Khamis 13hb Januari 2011 aku menerima SMS dari Zana (adik perempuan) menyatakan tentang keadaan kesihatan emak yang agak membimbangkan. Segera aku berjumpa dengan Pegawai di pejabat dan memohon pulang awal dengan memberitahu keadaan sebenar.

Sesampainya di rumah Zana, keadaan memang cemas kerana keadaaan emak yang dilihat begitu tenat malahan beberapa ahli keluarga sedang membacakan surah Yasin untuknya..hinggalah abang sulong aku tiba dari Gemaas sekitar jam 9.00 malam. Lantas diajaknya aku untuk ke HTAR bagi mendapatkan ambulans. Dan malam itu aku berada di hospital hingga menjelang subuh dan terpaksa balik ke rumah untuk menguruskan hal persekolahan anak-anak.

Hari Jumaat aku hubungi rakan sepejabat kerana terpaksa mengambil cuti kecemasan, dan menyelesaikan beberapa urusan dokumentasi yang diperlukan pihak hospital. Bermula hari itu kami sentiasa berulang alik ke HTAR untuk melawatnya. Tidak cukup siang, malam hari pun kami datang untuk melihat perkembangan dirinya walau pun waktu melawat telah tamat. Mujur sepanjang masa pengawal bertugas memahami keadaan dengan membenarkan kami masuk.

Hari ini aku bercadang untuk melawatnya di hospital pada waktu petang. Tengahari keluar untuk membeli beberapa keperluan untuk mertua dan peralatan sekolah untuk Nabilah. Setibanya ke Alam Sentral, sebaik sahaja meletak kereta aku terima satu lagi SMS dari Zana dan memberi perkembangan yang kurang baik. Lantas membatalkan segala urusan dan berkejar semula ke HTAR. Aku sampai ke HTAR sekitar jam 2.15 ptg dan tentunya waktu melawat sudah tamat. Sekali lagi pengawal memberi kebenaran tanpa banyak soal. Kami berempat beranak berlari menaiki tangga dan sesampainya ke katil tempat emak dirawat, aku terlihat semua adik beradik dan anak saudara kelihatan berduka.Kami terlewat beberapa minit

Doktor telah mengesahkan kematian emak pada jam 2.40 petang. Urusan seterusnya adalah untuk membawa pulang jenazah. Sekali lagi urusannya cukup mudah walau pun hari ini adalah Ahad. Sebelum waktu asar jenazah telah dibawa balik ke rumah dan urusan seterusnya sebelum pengkebumian yang di buat sekitar jam 6.00 petang.
Pada usia 73 tahun seperti yang tercatat di dalam kad pengenalannya,hari ini emak telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin....