Tuesday, May 17, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari kedua)

Hari Kedua

Aku terjaga agak awal, sekitar jam 2.00 pagi. Mungkin kerana tidur terlalu awal atau pun belum dapat menyesuaikan diri dengan tempat tidur baru. Orang kata tukar bantal..hehehe...Terasa waktu malam di Indonesia Barat terlalu panjang. Didorong mata yang tidak mahu pejam, aku ambil keputusan menonton siaran tv kabel. Mujur juga hotel ini menyediakan kemudahan tersebut selain wifi percuma. Malangnya aku tidak membawa laptop maka tidak dapatlah membuat catatan perjalanan ini secara langsung. Selesai subuh, aku bangunkan anak-anak untuk bersiap kerana sarapan pagi disediakan pada jam 7.00 pagi dan kami harus bertolak awal untuk ke Tangkuban Perahu. Sarapan pagi hanya mengambil masa hanya 30 minit kerana supir kami iaitu Pak Dudi telah sedia menunggu di lobi hotel.

Turut bersama adalah rakannya yang diperkenalkan sebagai Mas Yanto. Lelaki berusia 50 tahun itu bakal menjadi pemandu kami pada hari itu. Ini kerana Pak Dudi telah mempunyai jadual untuk membawa pelancung lain. Perancangan yang kami atur adalah untuk ke Tangkuban Perahu. Pak Dudi telah memberikan beberapa cadangan lain selepas ke sana. Mengejutkan kerana tanpa disangka Pak Dudi telah menurunkan sedikit harganya . Melalui perbualan telefon sebelum datang ke Bandung kami telah bersetuju untuk membayar sebanyak 800,000 rupiah. Tanpa diminta, beliau menurunkan lagi harganya dengan memotong sebanyak 50,000 rupiah, maka kami hanya perlu membayar 750,000 rupiah sepanjang 4 hari di sana.

Perjalanan ke Tangkuban Perahu mengambil masa hampir 1 jam. Melalui jalan yang agak sesak, dalam bahasa Indonesianya "macet" selain gaya pemanduan berbeza yang diamalkan. Secara jujur aku tidak berani jika ada sesiapa yang meminta aku memandu kenderaan di sana. Beberapa kali juga kaki aku seolah-olah menekan pedal brek (bahasa kasarnya brek angin...hahaha). Sungguh pun gaya pemanduan yang diamalkan agak merbahaya bagi kita yang tidak biasa, tapi sepanjang perjalanan pagi tersebut kami tidak melihat sebarang kemalangan yang terjadi. Malah kemalangan kecil seperti yang biasa berlaku di negara sendiri juga tidak kelihatan. Ternyata sikap toleransi di jalanraya membantu mengelakkan kemalangan jalanraya.

Pemandangan yang indah membuatkan perjalanan yang agak jauh tidak terasa. Sebaik tiba, kami telah melihat para peniaga cuba memujuk pelancung agar membeli barang jualan mereka. Sebelum keluar kenderaan, kami telah mengingatkan sesama sendiri untuk tidak cuba termakan pujuk rayu mereka. Malah Pak Dudi juga telah berpesan agar kami tidak membeli barangan di Tangkuban Perahu kerana menurutnya harga yang ditawarkan amat mahal. Yani dan Hairul (rakan sepejabat isteri aku) berusaha memujuk anak mereka yang berusia 4 tahun untuk tidak meminta sebarang alat permainan yang dijual. Semasa dari Kuala Lumpur lagi kami telah menjangkakan keadaan sedemikian kerana menurut cerita rakan-rakan yang pernah berkunjung, para peniaga menaikkan harga sesuka hati dan sekiranya tidak berhati-hati kita akan terbeli barangan murah dengan harga yang amat tinggi.

Seperti dijangka, sebaik sahaja kaki menjejak ke tanah, para peniaga ini menyerbu dan memujuk kami. Barangan seperti tasbih, rantai kunci, alat permainan menjadi dagangan mereka. Bagaimana pun aku tertarik dengan set Angklung yang dijual. Aku minta Mas Yanto menanyakan harganya. Set Angklung tersebut dijual dengan harga 400,000 rupiah. Mendengar harganya aku diamkan seketika lantas meninggalkan si penjual. Bermula dari itu berterusanlah si penjual angklung mengekori aku. Itulah cara peniaga di sana. Mereka akan mengekori setiap pengunjung yang datang. Bagaimana pun sekiranya kita bertegas dengan mengatakan tidak mahu, mereka akan berundur dan tidak akan mengekori kita lagi. Cara itulah yang kami gunakan sepanjang di Tangkuban Perahu. Yani dan Hairul kelihantannya berjaya mengawal anak mereka. Kanak-kanak kecil memang amat mudah memberontak menginginkan alat permainan.

Si penjual angklung berterusan mengekori aku lantaran dia tahu aku meminati barang jualannya. Sesi tawar menawar bermula, Akhirnya aku membeli angklung tersebut dengan harga 150,000 rupiah (kira-kira RM52.00). Kenapa aku beli angklung tersebut walau pun sejak dari dalam kenderaan lagi kami telah saling mengingati? Angklung tersebut mempunyai 8 set. cukup untuk memainkan rima do re mi....Jika di Malaysia dengan harga sebegitu aku cuma dapat memiliki hanya satu rima sahaja.

Puas melihat pemandangan kawah gunung berapi yang masih berasap. kami mengambil keputusan kembali ke Bandung dan meneruskan acara window shopping di sana. Berkesempatan singgah di beberapa factory outlet (FO) sebelum makan tengahari di restoran Nasi Padang dan menyambung semula penjelajahan beberapa lagi FO sebelum kembali ke hotel. Selesai mandi isteri aku memesan makanan untuk dihantar ke bilik. Sambil makan menonton rancangan tv. Seperti biasa Hazim orang terawal yang tidur akibat keletihan.

Cuaca di luar hujan lebat tetapi kami tidak merasakan suhu yang terlalu sejuk. Alat hawa dingin terpasang di bilik. Menurut cerita kawan-kawan, suhu di Bandung agak dingin pada malam hari. Malahan menurut mereka lagi suhu di Tangkuban Perahu juga amat sejuk. Ada kalanya boleh mencecah 10 darjah selsius walau pun pada siang hari. Malangnya kami tidak merasakan itu semua. Teringin juga aku untuk merasakan kedinginan suhu sebegitu. Mungkin kunjungan kali kedua nanti kami dapat menikmatinya.
bersambung...

No comments: