Tuesday, September 01, 2015

Solo Ride : Shah Alam - Tasik Kenyir - Shah Alam (Siri 1)

Beberapa hari sebelum bertolak aku telah membuat carian di internet untuk mengetahui jalan-jalan yang akan dilalui. Sebelum ini tergerak untuk melalui LPT menuju ke Kuala Terengganu dan seterusnya ke Tasik Kenyir melalui Kuala Berang. Bagaimana pun secara tiba-tiba aku terfikir kenapa tidak saja menggunakan jalan Gua Musang - Felda Aring dan terus ke Tasik Kenyir, Pahang. 


Aku memang telah biasa memandu menggunakan jalan-jalan ini samada memilih menggunakan LPT - Kuala Terengganu atau terus ke Gua Musang melalui Raub ke Kuala Lipis. Bagaimana pun aku lebih memilih melalui Gua Musang kerana jalan yang bakal dilalui agak redup sambil melintasi beberapa bandar dan penempatan. Lebih mudah untuk mencari tempat untuk berehat.

Persiapan mental dan proses merawat motorsikal telah dilakukan. Tayar motorsikal yang aku gunakan telah di isi dengan cecair dikuatiri akan terjadi kes tercucuk paku. Ada yang mencadangkan agar aku bersedia dengan pam angin dan kelengkapan untuk menampal kebocoran tayar. Tapi aku lebih memilih cecair yang dimasukkan ke dalam tayar motorsikal kerana ia lebih mudah.

Hari yang ditunggu sudah tiba. Memulakan perjalanan di awal pagi sekitar jam 5.30 pagi dengan memohon doa agar perjalanan ini dilindungi Allah SWT. Melalui Lebuhraya Persekutuan menuju ke Jalan Kucing terus ke DUKE dan berhenti untuk solat subuh di stesen minyak sebelum melintasi plaza tol Gombak. 

Sekitar jam 6.45 pagi menyambung kembali perjalanan dan singgah di bandar Bentong untuk bersarapan. Kebetulan pada hari tersebut akan diadakan raptai acara perbarisan sempena menyambut Hari Kemerdakaan Malaysia ke 58. Agak ramai orang pada ketika itu.

Usai bersarapan, aku memulakan perjalanan pada jam 7.30 pagi dan berhenti mengisi minyak di RnR Benta. Perjalanan melalui Jalanraya Persekutuan (Route 8) begitu lancar kerana di awal pagi belum banyak kenderaan di atas jalan raya. Mengekalkan kelajuan 110km/j, aku tidak mahu memandu laju kerana destinasi yang dituju masih jauh dan tiada apa yang hendak dikejarkan. Selain itu dengan mengekalkan momentum sebegitu aku dapat juga menikmati pemandangan sepanjang laluan  dan lebih penting lagi dapat mengawal degupan jantung (hahahaha sayangilah jantung anda).