Tuesday, May 17, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari ketiga)

Tidak seperti semalam, pagi itu aku terjaga jam 3++ . Mungkin kerana tidur semalam agak lewat. TV Indonesia ketika itu sedang membuat liputan secara langsung perkahwinan Putera William dan Kate Midleton. Sementara menunggu laporan langsung dari Britain mereka menyiarkan rancangan khas yang dilihat berbeza dari rancangan tv Malaysia. Jenaka yang dipersembahkan unik dan tidak slapstik. 

Bila terjaga awal pagi tersebut, sekali lagi aku membuka siaran tv dan menonton sementara menunggu waktu subuh. Ketika itu terdetik juga rasa menyesal kerana tidak membawa bersama laptop. Perancangan asal memang aku ingin membawa bersama laptop ke Bandung. Tetapi bila mengenangkan tentang kekerapan kejadian kehilangan barang di bilik hotel, aku menjadi agak curiga tentang tahap keselamatan di hotel tersebut. Itulah tanggapan awal yang aku rasakan semasa masih di bumi Malaysia lagi. Bagaimana pun segala keraguan aku hilang apabila melihat sendiri hotel yang berada di depan mata. Tahap keselamatan yang baik kerana dilengkapi cctv selain suasana hotel itu sendiri yang menarik. Tidak sia-sia Iken (isteri aku) membuat tempahan di situ. Jika ada rezeki, hotel itu akan menjadi pilihan sekiranya kami berkunjung ke Bandung lagi. 
Subuh di Bandung sekitar jam 4.30 pagi. Sungguh pun begitu kedengaran di jalanraya bunyi kenderaan mula memecah keheningan. Seperti pagi semalam, selesai melakukan perkara wajib, kami terus bersiap untuk bersarapan pada jam 7.00 nanti. Perancangan telah dibuat bersama Mas Yanto petang semalam untuk membawa kami ke Kawah Putih. Satu lagi gunung berapi yang masih aktif yang terletak di daerah Ciwidey, di selatan Bandung. Jarak perjalanan ke Kawah Putih lebih jauh dari ke Tangkuban Perahu. Perjalanan kali ini mengambil masa 1 jam lebih. Menurut Mas Yanto, kali ini Pak Dudi juga akan turut serta bersama. Bagaimana pun dia akan membawa pelancung lain yang juga dari Malaysia. Untuk itu kami menunggu beliau untuk bergerak seiringan.

Semasa memberhentikan kenderaan untuk mengisi petrol, Pak Dudi telah memberitahu kami agar tidak bercakap apa-apa ketika hendak memasuki kawasan Kawah Putih. Ini kerana beliau akan memperkenalkan kami sebagai pelancung tempatan (iaitu warga Indonesia). Ini untuk mengelakkan dari dikenakan harga tiket bagi pelancung asing. Seperti di Malaysia juga beberapa tempat tumpuan pelancungan mengenakan harga tiket berbeza bagi pelancung tempatan dan luar negara. Untuk ke Kawah Putih kami telah dikenakan bayaran sebanyak 250,000 rupiah bagi 6 orang dewasa termasuk tambahan kos kenderaan.

Sepanjang perjalanan pergi, dapatlah kami melihat sendiri keadaan hidup warga Indonesia. Dihiasi bukit bukau yang kelihatan subur untuk pertanian dan kedudukan rumah-rumah yang agak rapat. Ternyata Indonesia sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Melihat dari udara, jelas kelihatan rumah dibina terlalu rapat. Setiba di daerah Ciwidey, kelihatan masih banyak pedati kuda menjadi pengangkutan utama di sini. Aku bertekad untuk menaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Bandung.  Kelihatan juga masih banyak rumah yang dibuat dari dinding buluh yang telah dianyam. Malah masih ada perusahaan membuatnya kerana permintaan yang tinggi dari penduduk di sana. Menurut Mas Yanto rumah sebegitu didiami golongan yang berpendapatan rendah. Jika di Malaysia, dinding anyaman buluh sebegitu bakal menjadi sesuatu yang ekslusif dan tentunya harganya juga mahal. Mungkin kerana nilai seninya dan proses pembuatan yang rumit. Kerana mengejar masa, selain Pak Dudi yang telah jauh meninggalkan kami di belakang, maka aku tidak meminta Mas Yanto memberhentikan kenderaan semata-mata untuk mengambil gambar.
bersambung...

No comments: