Saturday, May 28, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari Keempat)

Tidak seperti  2 hari lepas, tidur kami agak lena. Mungkin kerana sudah dapat menyesuaikan diri. Apa pun itu adalah malam terakhir kami di Bandung. Jam 2.30 pesawat kami akan berlepas menuju ke KLIA. 
Selepas bersarapan pagi itu, hidangan mereka adalah nasi putih dan gulai seperti makan tengahari. Mungkin kebiasaan rakyat Indonesia bersarapan dengan hidangan sebegitu. Seperti kita di Malaysia ini, beberapa negeri juga mengamalkan hidangan pagi yang bersesuaian dengan citarasa mereka. Kami ingin menghabiskan masa dengan mengunjungi Pasar Baru. Hairul masih ada yang ingin dibeli sebagai ole-ole untuk dibawa pulang. Aku juga seperti ada sesuatu yang ingin dibeli walau pun desakan untuk membeli tidak sekuat ketika datang. Kami tidak mempunyai banyak masa. 2 jam di peruntukkan semasa ke Pasar Baru.

Jam 8 pagi kami sudah di Pasar Baru. Ada peniaga yang sudah memulakan perniagaan . Tidak seperti hari-hari sebelum ini, kami sempat berjalan disekitar tempat ini dengan tenang. Setiap aras menjual barangan yang berlainan. Aras yang paling atas adalah pusat beg tangan. Walau pun harganya murah, tapi Iken kata rekabentuk beg seperti di pasar malam sahaja.....hahahaha...

Kami agak terlewat sedikit dari masa yang ditetapkan. Bergegas balik ke hotel untuk mengemas pakaian. Sebahagian pakaian telah dimasukkan ke dalam beg pada waktu malam. Begitulah kebiasaannya yang kami lakukan. Tidak mahu kelam kabut berkemas. Turun untuk check-out, Pak Dudi telah sedia menunggu di lobi. Menurutnya dia telah datang ke hotel sewaktu kami ke Pasar Baru. Kami tidak menyangka yang dia akan datang pagi itu kerana kami memang tidak merancang untuk ke mana-mana lagi. Bagaimana pun bukan rezeki kami untuk melawat sekitar Bandung lagi pagi itu. Kesudian Pak Dudi untuk datang membawa kami keluar berjalan lagi amat dihargai. Layanan yang diberi cukup memuaskan hati apatah lagi bayaran yang dikenakan kepada kami cukup murah. Menurut Iken Pak Dudi memang menawarkan harga yang murah kerana sepanjang persiapan kami ke sana Ikenlah yang banyak berurusan dengan pihak di Indonesia khususnya Bandung.

Semasa di lobi Pak Dudi sempat bertanyakan sekiranya masih ada apa-apa yang belum dibeli sebagai ole-ole. Hazim dan Nabilah menginginkan Fridge magnet untuk rakan sekolah mereka. Yani juga mencari barang yang sama. Pak Dudi menawarkan diri untuk ke Pasar Baru. DIa mempunyai rakan yang boleh memberi harga murah untuk barangan tersebut. Sekitar jam 12.00 tengahari Pak Dudi menghantar kami ke lapangan terbang. Bayaran pengangkutan kami lunaskan kepada Pak Dudi. Urusan untuk keluar tidak lama seperti kedatangan kami tempohari. Apa pun bagi anda yang teringin ke Bandung, jangan terkejut kerana cukai lapangan terbang tidak termasuk dalam harga tiket. Anda harus menyediakan wang sejumlah Rp75,000 seorang. Seperti yang diberitahu sebelum ini, wang harus diasingkan untuk mengelakkan terlebih guna. 

Pesawat berlepas tepat jam 2.30 petang dan kota Bandung kami tinggalkan dengan seribu kenangan. Entah bila lagi akan dikunjungi. Terima kasih Mas Yanto dan Pak Dudi yang menjadi supir kami semasa di sana. 

Semoga ketemu lagi...

Catatan pada 12 Jun 2013

Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah membaca catatan perjalanan saya sepanjang di Kota Bandung.

Inilah yang saya temui melalui carian Google
Hingga kini masih ramai yang bertanya tentang Pak Dudi dan mahukan nombor telefon beliau. Saya ingin memohon maaf sekiranya ada antara email yang tidak dapat dijawab kerana kesibukan tugas harian membataskan diri bukan saja untuk membals email malah mengemaskini blog ini. Sebenarnya business kad beliau telah lama hilang dari simpanan saya. Bagaimana pun saya telah cuba mencari nama Pak Dudi melalui Google dan mendapati telah ramai yang menggunakan khidmat beliau dan mereka cukup berpuas hati. Pada mulanya saya curiga mungkin ia adalah orang yang berlainan tetapi gambar yang tertera mengesahkan dia adalah Pak Dudi yang sama. Tidak percaya? Cuba Google dengan nama Pak Dudi dan bandingkan wajahnya dengan yang terdapat di dalam blog ini. Sekiranya mahu membuat panggilan terus ke Indonesia +622293856969



Thursday, May 19, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari ketiga - Bahagian 2)

Menunggu Mas Yanto untuk ke Kawah Putih
Bau sulfur menusuk hidung dari kejauhan lagi. Sayup kedengaran suara kanak-kanak yang di panggil artis jalanan menyanyikan lagu-lagu irama jawa. Seperti di Tangkuban Perahu, di sini juga terdapat peniaga yang mengejar pelancung untuk menjual barang dagangan mereka. Bezanya peniaga di sini tidak seramai di Tangkuban Perahu malah barang dagangannya juga tidak pelbagai. Yang pastinya topeng muka adalah dagangan utama selain buah strawberi. Awas sekiranya anda ke sini dan tiba-tiba hujan turun, anda mempunyai pilihan samada untuk berlari terus ke kereta atau pun ke tempat berteduh yang terhad. Terdapat juga orang yang bersedia menyewakan payung dengan bayaran 10,000 rupiah (kira-kira RM3.50). Menurut Mas Yanto kebiasaannya hujan akan turun pada waktu tengahari atau pun petang. Jadi kebanyakan pengunjung dinasihatkan bertolak awal pagi sekiranya ingin ke sana seperti yang kami lakukan.

Kami tidak terlalu lama di Kawah Putih. Yani telah menunjukkan tanda alahan kerana dia memang mengidap asma, Nabilah juga mula mengalami gatal-gatal hidung. Segera kami beredar dari tepian kolam yang jelas menampakkan sulfur di gigi air. Bagi sesiapa yang ingin berkunjung ke sini, adalah dinasihatkan anda membawa sendiri face mask dan memasukkannya sebagai barangan yang wajib dibawa dari Malaysia. ...hahaha...Perjalanan turun dirasakan tidak terlalu lama. Tiba di kaki bukit kami singgah sebentar untuk mencari sesuatu tanda mata seperti fridge magnet yang tertera perkataan Kawah Putih, malangnya di sini memang tiada dagangan sebegitu. Hanya buah strawberi yang menurut Mas Yanto rasanya agak masam. Perjalanan diteruskan menuju semula ke pusat bandar. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini ingin menaiki pedati kuda, bila aku nyatakan hajat tersebut, tiada seorang pun yang berminat untuk mencubanya. Terpaksalah dibatalkan niat tersebut.

Sebaik tiba, kami terus menuju ke Jalan Riau meninjau kedai-kedai barang berjenama. Ketika inilah  perut baru terasa lapar. Tinjauan disingkatkan kerana kami kurang berminat. Beberapa FO yang dikunjungi tidak menarik minat kami untuk mengeluarkan duit. Perancangan asal untuk menghabiskan hari tersebut dengan menghabiskan masa meronda kebanyakan FO samada di Jalan Riau atau Jalan Dago. Pak Dudi sendiri telah mengingatkan kami di awal pagi sebelum bertolak ke Kawah Putih kerana itulah hari terakhir kami dapat meronda Bandung. Agak kecewa dengan suasana di Jalan Riau, isteri aku kata beg yang dijual seolah-olah di pasar malam. Aku yang berura-ura mencari kasut juga agak kecewa kerana tidak ada yang berkenan di hati. Puas juga aku cuba memujuk hati, tapi memang tiada yang dapat menarik duit keluar dari beg yang aku pakai. 

Oh ye...aku terlupa untuk menyatakan bahawa sebelum kami berangkat ke Bandung, semua duit untuk pembiayaan telah diasingkan. Tujuannya supaya kami tidak tersilap mengambil duit dan terlebih bajet. Almaklumlah duit Indonesia banyak angka kosongnya. Malahan warna duit juga agak sama. Untuk mengelakkan kekeliruan kami ikat dan labelkan semua duit. Ada juga kawan yang mengasingkan duit di dalam sampul yang telah dilabelkan. Kita tidak akan risau jika pengasingan telah dibuat. Apa yang penting adalah duit cukai lapanganterbang, sewa kenderaan, bayaran masuk ke tempat-tempat kunjungan seperti yang saya nyatakan di atas. Selesai semua itu, kita akan dapat berjalan dengan tenang kerana tahu berapakah anggaran perbelanjaan yang ingin dilakukan.

Kelaparan...lantas kami mengajak Mas Yanto untuk ke kedai kek yang terkenal di Bandung iaitu Kartika Sari. Tanpa di sangka kedudukannya juga terlalu hampir dengan hotel penginapan. Sebagaimana kami boleh berulang alik berjalan kaki ke Pasar Baru, begitu jugalah kedai Kartika Sari ini. Naik ke lantai 2 (kita sebut aras atau bahasa orang putihnya level) terdapat kiosk yang menjual makanan. Perut yang lapar membuatkan kami berselera makan. Nasi Kuning menjadi pilihan aku. Sebelum ini aku pernah terlihat nasi ini di dalam satu rancangan tv. Tidak disangka aku dapat merasainya di Bandung. Beras yang ditanak menggunakan santan dan sedikit kunyit, seakan nasi lemak juga.
Perut yang sudah berisi menaikkan semula semangat kami untuk menghabiskan petang itu dengan mengunjungi lagi kedai-kedai FO yang lain. Kami bercadang untuk ke Jalan Cibaduyut. Lokasi yang terkenal dengan barangan kulitnya. Menurut Mas Yanto di sinilah tempat barangan kulit dihasilkan dan dihantar ke kedai-kedai sekitar Bandung untuk jualan. Malangnya hari Sabtu adalah hari berlibur untuk warga Jakarta. Mas Yanto terlupa hari tersebut adalah Sabtu, maka kami tersekat dalam kesesakan lalulintas. "Macet total "(dibaca dengan sebutan baku) menurut Mas Yanto. Kenderaan kami hampir tidak dapat bergerak . Hampir 30 minit kami terperangkap. Mas Yanto menyerahkan kepada kami samada untuk meneruskan perjalanan ke Cibaduyut atau berpatah balik. Cuaca mulai gelap sekitar jam 6.00 petang. Aku mengarahkan agar dia menghantar sahaja kami terus ke hotel dan membatalkan niat asal kami untuk ke Cibaduyut. 

Tiba di hotel dalam keadaan letih (capek), aku mengucapkan terima kasih kepada Mas Yanto kerana membawa kami melawat Bandung. Penerbangan ke Kuala Lumpur pada 2.30 petang dan dia pula akan membawa pelancung ke Jakarta. Bermakna selesai sudah tugasnya membawa kami berjalan-jalan sekitar Bandung. Lelaki berumur 50 tahun itu  begitu sabar melayan karenah kami sepanjang 2 hari ini.  Tugas menghantar kami ke airport akan diambil alih oleh Pak Dudi.
bersambung...

Tuesday, May 17, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari ketiga)

Tidak seperti semalam, pagi itu aku terjaga jam 3++ . Mungkin kerana tidur semalam agak lewat. TV Indonesia ketika itu sedang membuat liputan secara langsung perkahwinan Putera William dan Kate Midleton. Sementara menunggu laporan langsung dari Britain mereka menyiarkan rancangan khas yang dilihat berbeza dari rancangan tv Malaysia. Jenaka yang dipersembahkan unik dan tidak slapstik. 

Bila terjaga awal pagi tersebut, sekali lagi aku membuka siaran tv dan menonton sementara menunggu waktu subuh. Ketika itu terdetik juga rasa menyesal kerana tidak membawa bersama laptop. Perancangan asal memang aku ingin membawa bersama laptop ke Bandung. Tetapi bila mengenangkan tentang kekerapan kejadian kehilangan barang di bilik hotel, aku menjadi agak curiga tentang tahap keselamatan di hotel tersebut. Itulah tanggapan awal yang aku rasakan semasa masih di bumi Malaysia lagi. Bagaimana pun segala keraguan aku hilang apabila melihat sendiri hotel yang berada di depan mata. Tahap keselamatan yang baik kerana dilengkapi cctv selain suasana hotel itu sendiri yang menarik. Tidak sia-sia Iken (isteri aku) membuat tempahan di situ. Jika ada rezeki, hotel itu akan menjadi pilihan sekiranya kami berkunjung ke Bandung lagi. 
Subuh di Bandung sekitar jam 4.30 pagi. Sungguh pun begitu kedengaran di jalanraya bunyi kenderaan mula memecah keheningan. Seperti pagi semalam, selesai melakukan perkara wajib, kami terus bersiap untuk bersarapan pada jam 7.00 nanti. Perancangan telah dibuat bersama Mas Yanto petang semalam untuk membawa kami ke Kawah Putih. Satu lagi gunung berapi yang masih aktif yang terletak di daerah Ciwidey, di selatan Bandung. Jarak perjalanan ke Kawah Putih lebih jauh dari ke Tangkuban Perahu. Perjalanan kali ini mengambil masa 1 jam lebih. Menurut Mas Yanto, kali ini Pak Dudi juga akan turut serta bersama. Bagaimana pun dia akan membawa pelancung lain yang juga dari Malaysia. Untuk itu kami menunggu beliau untuk bergerak seiringan.

Semasa memberhentikan kenderaan untuk mengisi petrol, Pak Dudi telah memberitahu kami agar tidak bercakap apa-apa ketika hendak memasuki kawasan Kawah Putih. Ini kerana beliau akan memperkenalkan kami sebagai pelancung tempatan (iaitu warga Indonesia). Ini untuk mengelakkan dari dikenakan harga tiket bagi pelancung asing. Seperti di Malaysia juga beberapa tempat tumpuan pelancungan mengenakan harga tiket berbeza bagi pelancung tempatan dan luar negara. Untuk ke Kawah Putih kami telah dikenakan bayaran sebanyak 250,000 rupiah bagi 6 orang dewasa termasuk tambahan kos kenderaan.

Sepanjang perjalanan pergi, dapatlah kami melihat sendiri keadaan hidup warga Indonesia. Dihiasi bukit bukau yang kelihatan subur untuk pertanian dan kedudukan rumah-rumah yang agak rapat. Ternyata Indonesia sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Melihat dari udara, jelas kelihatan rumah dibina terlalu rapat. Setiba di daerah Ciwidey, kelihatan masih banyak pedati kuda menjadi pengangkutan utama di sini. Aku bertekad untuk menaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Bandung.  Kelihatan juga masih banyak rumah yang dibuat dari dinding buluh yang telah dianyam. Malah masih ada perusahaan membuatnya kerana permintaan yang tinggi dari penduduk di sana. Menurut Mas Yanto rumah sebegitu didiami golongan yang berpendapatan rendah. Jika di Malaysia, dinding anyaman buluh sebegitu bakal menjadi sesuatu yang ekslusif dan tentunya harganya juga mahal. Mungkin kerana nilai seninya dan proses pembuatan yang rumit. Kerana mengejar masa, selain Pak Dudi yang telah jauh meninggalkan kami di belakang, maka aku tidak meminta Mas Yanto memberhentikan kenderaan semata-mata untuk mengambil gambar.
bersambung...

Cuti-cuti Bandung (Hari kedua)

Hari Kedua

Aku terjaga agak awal, sekitar jam 2.00 pagi. Mungkin kerana tidur terlalu awal atau pun belum dapat menyesuaikan diri dengan tempat tidur baru. Orang kata tukar bantal..hehehe...Terasa waktu malam di Indonesia Barat terlalu panjang. Didorong mata yang tidak mahu pejam, aku ambil keputusan menonton siaran tv kabel. Mujur juga hotel ini menyediakan kemudahan tersebut selain wifi percuma. Malangnya aku tidak membawa laptop maka tidak dapatlah membuat catatan perjalanan ini secara langsung. Selesai subuh, aku bangunkan anak-anak untuk bersiap kerana sarapan pagi disediakan pada jam 7.00 pagi dan kami harus bertolak awal untuk ke Tangkuban Perahu. Sarapan pagi hanya mengambil masa hanya 30 minit kerana supir kami iaitu Pak Dudi telah sedia menunggu di lobi hotel.

Turut bersama adalah rakannya yang diperkenalkan sebagai Mas Yanto. Lelaki berusia 50 tahun itu bakal menjadi pemandu kami pada hari itu. Ini kerana Pak Dudi telah mempunyai jadual untuk membawa pelancung lain. Perancangan yang kami atur adalah untuk ke Tangkuban Perahu. Pak Dudi telah memberikan beberapa cadangan lain selepas ke sana. Mengejutkan kerana tanpa disangka Pak Dudi telah menurunkan sedikit harganya . Melalui perbualan telefon sebelum datang ke Bandung kami telah bersetuju untuk membayar sebanyak 800,000 rupiah. Tanpa diminta, beliau menurunkan lagi harganya dengan memotong sebanyak 50,000 rupiah, maka kami hanya perlu membayar 750,000 rupiah sepanjang 4 hari di sana.

Perjalanan ke Tangkuban Perahu mengambil masa hampir 1 jam. Melalui jalan yang agak sesak, dalam bahasa Indonesianya "macet" selain gaya pemanduan berbeza yang diamalkan. Secara jujur aku tidak berani jika ada sesiapa yang meminta aku memandu kenderaan di sana. Beberapa kali juga kaki aku seolah-olah menekan pedal brek (bahasa kasarnya brek angin...hahaha). Sungguh pun gaya pemanduan yang diamalkan agak merbahaya bagi kita yang tidak biasa, tapi sepanjang perjalanan pagi tersebut kami tidak melihat sebarang kemalangan yang terjadi. Malah kemalangan kecil seperti yang biasa berlaku di negara sendiri juga tidak kelihatan. Ternyata sikap toleransi di jalanraya membantu mengelakkan kemalangan jalanraya.

Pemandangan yang indah membuatkan perjalanan yang agak jauh tidak terasa. Sebaik tiba, kami telah melihat para peniaga cuba memujuk pelancung agar membeli barang jualan mereka. Sebelum keluar kenderaan, kami telah mengingatkan sesama sendiri untuk tidak cuba termakan pujuk rayu mereka. Malah Pak Dudi juga telah berpesan agar kami tidak membeli barangan di Tangkuban Perahu kerana menurutnya harga yang ditawarkan amat mahal. Yani dan Hairul (rakan sepejabat isteri aku) berusaha memujuk anak mereka yang berusia 4 tahun untuk tidak meminta sebarang alat permainan yang dijual. Semasa dari Kuala Lumpur lagi kami telah menjangkakan keadaan sedemikian kerana menurut cerita rakan-rakan yang pernah berkunjung, para peniaga menaikkan harga sesuka hati dan sekiranya tidak berhati-hati kita akan terbeli barangan murah dengan harga yang amat tinggi.

Seperti dijangka, sebaik sahaja kaki menjejak ke tanah, para peniaga ini menyerbu dan memujuk kami. Barangan seperti tasbih, rantai kunci, alat permainan menjadi dagangan mereka. Bagaimana pun aku tertarik dengan set Angklung yang dijual. Aku minta Mas Yanto menanyakan harganya. Set Angklung tersebut dijual dengan harga 400,000 rupiah. Mendengar harganya aku diamkan seketika lantas meninggalkan si penjual. Bermula dari itu berterusanlah si penjual angklung mengekori aku. Itulah cara peniaga di sana. Mereka akan mengekori setiap pengunjung yang datang. Bagaimana pun sekiranya kita bertegas dengan mengatakan tidak mahu, mereka akan berundur dan tidak akan mengekori kita lagi. Cara itulah yang kami gunakan sepanjang di Tangkuban Perahu. Yani dan Hairul kelihantannya berjaya mengawal anak mereka. Kanak-kanak kecil memang amat mudah memberontak menginginkan alat permainan.

Si penjual angklung berterusan mengekori aku lantaran dia tahu aku meminati barang jualannya. Sesi tawar menawar bermula, Akhirnya aku membeli angklung tersebut dengan harga 150,000 rupiah (kira-kira RM52.00). Kenapa aku beli angklung tersebut walau pun sejak dari dalam kenderaan lagi kami telah saling mengingati? Angklung tersebut mempunyai 8 set. cukup untuk memainkan rima do re mi....Jika di Malaysia dengan harga sebegitu aku cuma dapat memiliki hanya satu rima sahaja.

Puas melihat pemandangan kawah gunung berapi yang masih berasap. kami mengambil keputusan kembali ke Bandung dan meneruskan acara window shopping di sana. Berkesempatan singgah di beberapa factory outlet (FO) sebelum makan tengahari di restoran Nasi Padang dan menyambung semula penjelajahan beberapa lagi FO sebelum kembali ke hotel. Selesai mandi isteri aku memesan makanan untuk dihantar ke bilik. Sambil makan menonton rancangan tv. Seperti biasa Hazim orang terawal yang tidur akibat keletihan.

Cuaca di luar hujan lebat tetapi kami tidak merasakan suhu yang terlalu sejuk. Alat hawa dingin terpasang di bilik. Menurut cerita kawan-kawan, suhu di Bandung agak dingin pada malam hari. Malahan menurut mereka lagi suhu di Tangkuban Perahu juga amat sejuk. Ada kalanya boleh mencecah 10 darjah selsius walau pun pada siang hari. Malangnya kami tidak merasakan itu semua. Teringin juga aku untuk merasakan kedinginan suhu sebegitu. Mungkin kunjungan kali kedua nanti kami dapat menikmatinya.
bersambung...

Monday, May 16, 2011

Cuti-cuti Bandung

Percutian kali ini begitu istimewa. Bandung menjadi destinasi percutian seperti yang telah dirancang sejak dari Julai 2010. Walau pun kali pertama ke sana, kami tidak menggunakan agensi pelancungan kerana yakin dengan bantuan rakan-rakan yang pernah ke sana. Melalui pengalaman mereka kami merancang percutian kali ini secara sendirian. Segala-galanya diuruskan sendiri melalui telefon yang nombor-nombornya diperolehi melalui samada carian internet atau rakan.
Kami memulakan perjalanan dari rumah menuju ke KLIA pada pagi hari 28 April 2011 sekitar jam 7.00 pagi. Walau pun pesawat hanya akan berlepas jam 12.30 tengahari, tetapi terpaksa bergerak awal kerana hari tersebut adalah hari bekerja dan untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di beberapa kawasan.

Hari Pertama


Penerbangan dengan pesawat MAS tepat mengikut jadual dan jam 1.10 petang waktu Indonesia Barat, (perbezaan masa 1 jam) pesawat mendarat di lapangan terbang Antarabangsa Husein Sastranegara, Bandung. Proses daftar masuk yang dilakukan oleh pihak imigresen Indonesia agak lambat. Hanya 2 kaunter sahaja dibuka untuk urusan mengambil gambar dan cap jari penumpang. Menurut sumber ianya adalah proses anti pengganas yang di lakukan oleh kerajaan Indonesia. Setiap pelawat yang mengunjungi negara itu akan diambil gambar dan cap jarinya sebagai pengenalan diri. Saya tidak pasti samada proses ini akan dibuat untuk pelancung yang sering melawat negara itu.

Selesai urusan di lapangan terbang, pemandu kami terus membawa ke Hotel Guntur dimana hotel itulah menjadi tempat penginapan selama beberapa hari di Bandung. Dia mencadangkan agar kami mengambil apartment kerana kami 2 keluarga. Kami bukan pergi 4 beranak sahaja kerana turut ditemani rakan sepejabat isteri aku yang juga membawa keluarganya. Tapi kami menolak pelawaannya kerana hotel yang kami tempah telah di tinjau dahulu lokasi dan kemudahan yang ada. Menurut rakan yang pernah menginap di situ jaraknya tidak jauh dengan Pasar Baru. Sesampainya di hotel, supir kami sempat menunjukkan lokasi Pasar Baru yang memang menjadi kegilaan wanita yang ingin membeli belah. Hanya lebih kurang 500 meter sahaja dari hotel penginapan. Isteri aku cukup teruja kerana jarak yang sedekat itu membolehkan dia berjalan kaki sahaja ke sana.

Bangunan yang kelihatan berbumbung dibelakang adalah Pasar Baru
Selepas daftar masuk ke hotel, berehat sebentar sambil mengalas perut dengan bekalan yang kami bawa. Kerana tidak tahu tempat untuk mencari makan kami telah bersedia dengan membawa makanan ringan dan air mineral untuk bekalan sepanjang 4 hari di sana. Tujuannya kerana bimbangkan kebersihan dengan makanan yang dijual. Sekitar jam 3.30 petang kami keluar berjalan kaki menuju ke Pasar Baru. Perjalanan yang dekat tetapi cukup sesak dengan orang ramai. Sepanjang kali lima bangunan kedai dipenuhi dengan peniaga yang melambakkan barang jualan. Kaki lima yang sepatutnya selesa dilalui menjadi sempit dan menyukarkan perjalanan.  Tapi begitulah negara yang mempunyai ramai penduduk. Setiap orang berebut mencari peluang mencari rezeki sebagai nafkah hidup. Peraturan tidak berguna jika perut tidak dapat diisi.

Hampir 2 jam di situ kami bergerak pulang ke hotel. Perniagaan di Pasar Baru di tutup awal, sekitar jam 5.00 petang. Bagaimana pun masih ada peniaga yang menutup perniagaan mereka jam 6.00 petang. Cuaca di Indonesia Barat  cepat gelap. Mungkin sebab itu mereka menutup perniagaan. Berbeza dengan kita di Malaysia, ada peniaga yang memulakan perniagaan jam 8.00 malam sehingga subuh seperti di Uptown. Malam itu kami berehat di hotel dan tidur agak awal kerana keletihan.
Bersambung.....