Friday, December 01, 2006

Tiada gambar

Selamat bersua lagi....
Kali ini tiada gambar yang akan saya letak di sini. Bukan kerana tiada gambar pengantin yang terbaru, tetapi gambar-gambar yang ada belum lagi dibuat "editing". Jadi saya akan cuba untuk bercerita sahaja kali ini. Selain dari itu ingin belajar menulis sambil mengasah keupayaan berfikir untuk menyusun ayat. Sememangnya saya tidak pernah menulis di mana-mana ruang samada internet malah surat khabar sekali pun. Jika ada pun sedikit tulisan dalam ruang forum internet yang tatabahasanya terlalu pasar atau rojak.

Baru-baru ini saya mengambil gambar satu pasangan pengantin di daerah kediaman saya, di Klang, Selangor. Tiada apa kekurangan pada majlis tersebut. Makanan dan lauk pauk untuk tetamu mencukupi sehingga ke akhir majlis. Sebagaimana dengan majlis perkahwinan yang pernah saya hadiri samada sebagai jurufoto atau sekadar tetamu jemputan, majlis berlangsung dengan meriah dihadiri jiran, rakan dan saudara mara jauh dan dekat. Di majlis-majlis seperti inilah sekali sekala semua orang akan dapat bersua muka. Pasangan pengantin seperti biasa akan cuba melayani semua tetamu jemputan. Pastinya bukan sahaja pengantin yang akan sebuk malahan semua ahli keluarga dan penanggah yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut.

Sudah menjadi kebiasaan, pada hari ini majlis-majlis perkahwinan samada di kampung atau bandar akan diserikan dengan DJ dan karaoke, kumpulan muzik (kugiran) malahan bagi yang mampu mengadakan majlis di hotel akan diiringi dengan persembahan muzik tradisional dari kumpulan atau ahli muzik yang diundang. Tiada salahnya dengan semua itu, hanya apa yang mendorong saya untuk menulis kali ini adalah kerana dalam majlis yang saya hadiri baru-baru ini, seseorang yang tidak saya kenali menyatakan kekesalannya kerana sistem pembesar suara yang di pasang terlalu kuat hinggakan mengganggu tetamu untuk bersembang. Katanya lagi, dalam majlis seperti inilah peluang untuk bertemu seluruh ahli keluarga samada jauh atau dekat. Semestinya jika sudah bertemu ada perkara yang ingin dibualkan tetapi tergganggu dengan sistem pembesar suara yang terlalu kuat. Sekiranya hendak bercakap terpaksa meninggikan suara dan kurang selesa dengan keadaan itu.

Saya terkejut kerana inilah pertama kali saya mendengar luahan hati tetamu berkaitan perkara tersebut. Bagaimana pun saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana saya juga bertugas untuk mengambil gambar pengantin dan bukan juga ahli keluarga yang layak untuk menegur. Apa yang diluahkan tetamu tadi memang ada kebenarannya kerana cara beliau hendak bercerita kepada saya pun terpaksa bercakap kuat malahan kadang-kadang saya sendiri tidak dapat mendengar dan mendekatkan telinga ke arahnya. Saya tidak menyalahkan DJ kerana perkara tersebut. Dia mungkin telah mendapat arahan dari pihak tuan rumah untuk menghidup atau menceriakan majlis, tetapi adakah sesuai dia memasang sistem muzik dengan kuat hinggakan mengganggu tetamu untuk bersembang?

Bagi sesetengah orang, mungkin mendengar muzik dengan kuat sudah menjadi kebiasaan dan boleh mendatangkan kepuasan. Tetapi bagaimana dengan sebahagian yang lain? Dapat saya gambarkan kegembiraan dan keselesaan tetamu tadi sekiranya muzik yang dipasang bunyinya sekadar sedap di telinga. Maknanya tidak terlau kuat malah tidak terlalu perlahan. Tulisan ini mungkin akan mengundang kemarahan DJ atau pengusaha karaoke di majlis perkahwinan. Tetapi saya tidak berniat untuk menutup periuk nasi mereka. Sekadar meluahkan apa yang telah disampaikan tetamu tadi untuk renungan kita bersama.

Sekian.



Hubungi:
Tel : 019-379 9984
YM : mtjmy
eMail : teejay@res-qmedia.com

Malaysia Blog Sites Listing