Showing posts with label Ciwidey. Show all posts
Showing posts with label Ciwidey. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari ketiga - Bahagian 2)

Menunggu Mas Yanto untuk ke Kawah Putih
Bau sulfur menusuk hidung dari kejauhan lagi. Sayup kedengaran suara kanak-kanak yang di panggil artis jalanan menyanyikan lagu-lagu irama jawa. Seperti di Tangkuban Perahu, di sini juga terdapat peniaga yang mengejar pelancung untuk menjual barang dagangan mereka. Bezanya peniaga di sini tidak seramai di Tangkuban Perahu malah barang dagangannya juga tidak pelbagai. Yang pastinya topeng muka adalah dagangan utama selain buah strawberi. Awas sekiranya anda ke sini dan tiba-tiba hujan turun, anda mempunyai pilihan samada untuk berlari terus ke kereta atau pun ke tempat berteduh yang terhad. Terdapat juga orang yang bersedia menyewakan payung dengan bayaran 10,000 rupiah (kira-kira RM3.50). Menurut Mas Yanto kebiasaannya hujan akan turun pada waktu tengahari atau pun petang. Jadi kebanyakan pengunjung dinasihatkan bertolak awal pagi sekiranya ingin ke sana seperti yang kami lakukan.

Kami tidak terlalu lama di Kawah Putih. Yani telah menunjukkan tanda alahan kerana dia memang mengidap asma, Nabilah juga mula mengalami gatal-gatal hidung. Segera kami beredar dari tepian kolam yang jelas menampakkan sulfur di gigi air. Bagi sesiapa yang ingin berkunjung ke sini, adalah dinasihatkan anda membawa sendiri face mask dan memasukkannya sebagai barangan yang wajib dibawa dari Malaysia. ...hahaha...Perjalanan turun dirasakan tidak terlalu lama. Tiba di kaki bukit kami singgah sebentar untuk mencari sesuatu tanda mata seperti fridge magnet yang tertera perkataan Kawah Putih, malangnya di sini memang tiada dagangan sebegitu. Hanya buah strawberi yang menurut Mas Yanto rasanya agak masam. Perjalanan diteruskan menuju semula ke pusat bandar. Seperti yang aku nyatakan sebelum ini ingin menaiki pedati kuda, bila aku nyatakan hajat tersebut, tiada seorang pun yang berminat untuk mencubanya. Terpaksalah dibatalkan niat tersebut.

Sebaik tiba, kami terus menuju ke Jalan Riau meninjau kedai-kedai barang berjenama. Ketika inilah  perut baru terasa lapar. Tinjauan disingkatkan kerana kami kurang berminat. Beberapa FO yang dikunjungi tidak menarik minat kami untuk mengeluarkan duit. Perancangan asal untuk menghabiskan hari tersebut dengan menghabiskan masa meronda kebanyakan FO samada di Jalan Riau atau Jalan Dago. Pak Dudi sendiri telah mengingatkan kami di awal pagi sebelum bertolak ke Kawah Putih kerana itulah hari terakhir kami dapat meronda Bandung. Agak kecewa dengan suasana di Jalan Riau, isteri aku kata beg yang dijual seolah-olah di pasar malam. Aku yang berura-ura mencari kasut juga agak kecewa kerana tidak ada yang berkenan di hati. Puas juga aku cuba memujuk hati, tapi memang tiada yang dapat menarik duit keluar dari beg yang aku pakai. 

Oh ye...aku terlupa untuk menyatakan bahawa sebelum kami berangkat ke Bandung, semua duit untuk pembiayaan telah diasingkan. Tujuannya supaya kami tidak tersilap mengambil duit dan terlebih bajet. Almaklumlah duit Indonesia banyak angka kosongnya. Malahan warna duit juga agak sama. Untuk mengelakkan kekeliruan kami ikat dan labelkan semua duit. Ada juga kawan yang mengasingkan duit di dalam sampul yang telah dilabelkan. Kita tidak akan risau jika pengasingan telah dibuat. Apa yang penting adalah duit cukai lapanganterbang, sewa kenderaan, bayaran masuk ke tempat-tempat kunjungan seperti yang saya nyatakan di atas. Selesai semua itu, kita akan dapat berjalan dengan tenang kerana tahu berapakah anggaran perbelanjaan yang ingin dilakukan.

Kelaparan...lantas kami mengajak Mas Yanto untuk ke kedai kek yang terkenal di Bandung iaitu Kartika Sari. Tanpa di sangka kedudukannya juga terlalu hampir dengan hotel penginapan. Sebagaimana kami boleh berulang alik berjalan kaki ke Pasar Baru, begitu jugalah kedai Kartika Sari ini. Naik ke lantai 2 (kita sebut aras atau bahasa orang putihnya level) terdapat kiosk yang menjual makanan. Perut yang lapar membuatkan kami berselera makan. Nasi Kuning menjadi pilihan aku. Sebelum ini aku pernah terlihat nasi ini di dalam satu rancangan tv. Tidak disangka aku dapat merasainya di Bandung. Beras yang ditanak menggunakan santan dan sedikit kunyit, seakan nasi lemak juga.
Perut yang sudah berisi menaikkan semula semangat kami untuk menghabiskan petang itu dengan mengunjungi lagi kedai-kedai FO yang lain. Kami bercadang untuk ke Jalan Cibaduyut. Lokasi yang terkenal dengan barangan kulitnya. Menurut Mas Yanto di sinilah tempat barangan kulit dihasilkan dan dihantar ke kedai-kedai sekitar Bandung untuk jualan. Malangnya hari Sabtu adalah hari berlibur untuk warga Jakarta. Mas Yanto terlupa hari tersebut adalah Sabtu, maka kami tersekat dalam kesesakan lalulintas. "Macet total "(dibaca dengan sebutan baku) menurut Mas Yanto. Kenderaan kami hampir tidak dapat bergerak . Hampir 30 minit kami terperangkap. Mas Yanto menyerahkan kepada kami samada untuk meneruskan perjalanan ke Cibaduyut atau berpatah balik. Cuaca mulai gelap sekitar jam 6.00 petang. Aku mengarahkan agar dia menghantar sahaja kami terus ke hotel dan membatalkan niat asal kami untuk ke Cibaduyut. 

Tiba di hotel dalam keadaan letih (capek), aku mengucapkan terima kasih kepada Mas Yanto kerana membawa kami melawat Bandung. Penerbangan ke Kuala Lumpur pada 2.30 petang dan dia pula akan membawa pelancung ke Jakarta. Bermakna selesai sudah tugasnya membawa kami berjalan-jalan sekitar Bandung. Lelaki berumur 50 tahun itu  begitu sabar melayan karenah kami sepanjang 2 hari ini.  Tugas menghantar kami ke airport akan diambil alih oleh Pak Dudi.
bersambung...

Tuesday, May 17, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari ketiga)

Tidak seperti semalam, pagi itu aku terjaga jam 3++ . Mungkin kerana tidur semalam agak lewat. TV Indonesia ketika itu sedang membuat liputan secara langsung perkahwinan Putera William dan Kate Midleton. Sementara menunggu laporan langsung dari Britain mereka menyiarkan rancangan khas yang dilihat berbeza dari rancangan tv Malaysia. Jenaka yang dipersembahkan unik dan tidak slapstik. 

Bila terjaga awal pagi tersebut, sekali lagi aku membuka siaran tv dan menonton sementara menunggu waktu subuh. Ketika itu terdetik juga rasa menyesal kerana tidak membawa bersama laptop. Perancangan asal memang aku ingin membawa bersama laptop ke Bandung. Tetapi bila mengenangkan tentang kekerapan kejadian kehilangan barang di bilik hotel, aku menjadi agak curiga tentang tahap keselamatan di hotel tersebut. Itulah tanggapan awal yang aku rasakan semasa masih di bumi Malaysia lagi. Bagaimana pun segala keraguan aku hilang apabila melihat sendiri hotel yang berada di depan mata. Tahap keselamatan yang baik kerana dilengkapi cctv selain suasana hotel itu sendiri yang menarik. Tidak sia-sia Iken (isteri aku) membuat tempahan di situ. Jika ada rezeki, hotel itu akan menjadi pilihan sekiranya kami berkunjung ke Bandung lagi. 
Subuh di Bandung sekitar jam 4.30 pagi. Sungguh pun begitu kedengaran di jalanraya bunyi kenderaan mula memecah keheningan. Seperti pagi semalam, selesai melakukan perkara wajib, kami terus bersiap untuk bersarapan pada jam 7.00 nanti. Perancangan telah dibuat bersama Mas Yanto petang semalam untuk membawa kami ke Kawah Putih. Satu lagi gunung berapi yang masih aktif yang terletak di daerah Ciwidey, di selatan Bandung. Jarak perjalanan ke Kawah Putih lebih jauh dari ke Tangkuban Perahu. Perjalanan kali ini mengambil masa 1 jam lebih. Menurut Mas Yanto, kali ini Pak Dudi juga akan turut serta bersama. Bagaimana pun dia akan membawa pelancung lain yang juga dari Malaysia. Untuk itu kami menunggu beliau untuk bergerak seiringan.

Semasa memberhentikan kenderaan untuk mengisi petrol, Pak Dudi telah memberitahu kami agar tidak bercakap apa-apa ketika hendak memasuki kawasan Kawah Putih. Ini kerana beliau akan memperkenalkan kami sebagai pelancung tempatan (iaitu warga Indonesia). Ini untuk mengelakkan dari dikenakan harga tiket bagi pelancung asing. Seperti di Malaysia juga beberapa tempat tumpuan pelancungan mengenakan harga tiket berbeza bagi pelancung tempatan dan luar negara. Untuk ke Kawah Putih kami telah dikenakan bayaran sebanyak 250,000 rupiah bagi 6 orang dewasa termasuk tambahan kos kenderaan.

Sepanjang perjalanan pergi, dapatlah kami melihat sendiri keadaan hidup warga Indonesia. Dihiasi bukit bukau yang kelihatan subur untuk pertanian dan kedudukan rumah-rumah yang agak rapat. Ternyata Indonesia sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Melihat dari udara, jelas kelihatan rumah dibina terlalu rapat. Setiba di daerah Ciwidey, kelihatan masih banyak pedati kuda menjadi pengangkutan utama di sini. Aku bertekad untuk menaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Bandung.  Kelihatan juga masih banyak rumah yang dibuat dari dinding buluh yang telah dianyam. Malah masih ada perusahaan membuatnya kerana permintaan yang tinggi dari penduduk di sana. Menurut Mas Yanto rumah sebegitu didiami golongan yang berpendapatan rendah. Jika di Malaysia, dinding anyaman buluh sebegitu bakal menjadi sesuatu yang ekslusif dan tentunya harganya juga mahal. Mungkin kerana nilai seninya dan proses pembuatan yang rumit. Kerana mengejar masa, selain Pak Dudi yang telah jauh meninggalkan kami di belakang, maka aku tidak meminta Mas Yanto memberhentikan kenderaan semata-mata untuk mengambil gambar.
bersambung...