Tuesday, May 17, 2011

Cuti-cuti Bandung (Hari kedua)

Hari Kedua

Aku terjaga agak awal, sekitar jam 2.00 pagi. Mungkin kerana tidur terlalu awal atau pun belum dapat menyesuaikan diri dengan tempat tidur baru. Orang kata tukar bantal..hehehe...Terasa waktu malam di Indonesia Barat terlalu panjang. Didorong mata yang tidak mahu pejam, aku ambil keputusan menonton siaran tv kabel. Mujur juga hotel ini menyediakan kemudahan tersebut selain wifi percuma. Malangnya aku tidak membawa laptop maka tidak dapatlah membuat catatan perjalanan ini secara langsung. Selesai subuh, aku bangunkan anak-anak untuk bersiap kerana sarapan pagi disediakan pada jam 7.00 pagi dan kami harus bertolak awal untuk ke Tangkuban Perahu. Sarapan pagi hanya mengambil masa hanya 30 minit kerana supir kami iaitu Pak Dudi telah sedia menunggu di lobi hotel.

Turut bersama adalah rakannya yang diperkenalkan sebagai Mas Yanto. Lelaki berusia 50 tahun itu bakal menjadi pemandu kami pada hari itu. Ini kerana Pak Dudi telah mempunyai jadual untuk membawa pelancung lain. Perancangan yang kami atur adalah untuk ke Tangkuban Perahu. Pak Dudi telah memberikan beberapa cadangan lain selepas ke sana. Mengejutkan kerana tanpa disangka Pak Dudi telah menurunkan sedikit harganya . Melalui perbualan telefon sebelum datang ke Bandung kami telah bersetuju untuk membayar sebanyak 800,000 rupiah. Tanpa diminta, beliau menurunkan lagi harganya dengan memotong sebanyak 50,000 rupiah, maka kami hanya perlu membayar 750,000 rupiah sepanjang 4 hari di sana.

Perjalanan ke Tangkuban Perahu mengambil masa hampir 1 jam. Melalui jalan yang agak sesak, dalam bahasa Indonesianya "macet" selain gaya pemanduan berbeza yang diamalkan. Secara jujur aku tidak berani jika ada sesiapa yang meminta aku memandu kenderaan di sana. Beberapa kali juga kaki aku seolah-olah menekan pedal brek (bahasa kasarnya brek angin...hahaha). Sungguh pun gaya pemanduan yang diamalkan agak merbahaya bagi kita yang tidak biasa, tapi sepanjang perjalanan pagi tersebut kami tidak melihat sebarang kemalangan yang terjadi. Malah kemalangan kecil seperti yang biasa berlaku di negara sendiri juga tidak kelihatan. Ternyata sikap toleransi di jalanraya membantu mengelakkan kemalangan jalanraya.

Pemandangan yang indah membuatkan perjalanan yang agak jauh tidak terasa. Sebaik tiba, kami telah melihat para peniaga cuba memujuk pelancung agar membeli barang jualan mereka. Sebelum keluar kenderaan, kami telah mengingatkan sesama sendiri untuk tidak cuba termakan pujuk rayu mereka. Malah Pak Dudi juga telah berpesan agar kami tidak membeli barangan di Tangkuban Perahu kerana menurutnya harga yang ditawarkan amat mahal. Yani dan Hairul (rakan sepejabat isteri aku) berusaha memujuk anak mereka yang berusia 4 tahun untuk tidak meminta sebarang alat permainan yang dijual. Semasa dari Kuala Lumpur lagi kami telah menjangkakan keadaan sedemikian kerana menurut cerita rakan-rakan yang pernah berkunjung, para peniaga menaikkan harga sesuka hati dan sekiranya tidak berhati-hati kita akan terbeli barangan murah dengan harga yang amat tinggi.

Seperti dijangka, sebaik sahaja kaki menjejak ke tanah, para peniaga ini menyerbu dan memujuk kami. Barangan seperti tasbih, rantai kunci, alat permainan menjadi dagangan mereka. Bagaimana pun aku tertarik dengan set Angklung yang dijual. Aku minta Mas Yanto menanyakan harganya. Set Angklung tersebut dijual dengan harga 400,000 rupiah. Mendengar harganya aku diamkan seketika lantas meninggalkan si penjual. Bermula dari itu berterusanlah si penjual angklung mengekori aku. Itulah cara peniaga di sana. Mereka akan mengekori setiap pengunjung yang datang. Bagaimana pun sekiranya kita bertegas dengan mengatakan tidak mahu, mereka akan berundur dan tidak akan mengekori kita lagi. Cara itulah yang kami gunakan sepanjang di Tangkuban Perahu. Yani dan Hairul kelihantannya berjaya mengawal anak mereka. Kanak-kanak kecil memang amat mudah memberontak menginginkan alat permainan.

Si penjual angklung berterusan mengekori aku lantaran dia tahu aku meminati barang jualannya. Sesi tawar menawar bermula, Akhirnya aku membeli angklung tersebut dengan harga 150,000 rupiah (kira-kira RM52.00). Kenapa aku beli angklung tersebut walau pun sejak dari dalam kenderaan lagi kami telah saling mengingati? Angklung tersebut mempunyai 8 set. cukup untuk memainkan rima do re mi....Jika di Malaysia dengan harga sebegitu aku cuma dapat memiliki hanya satu rima sahaja.

Puas melihat pemandangan kawah gunung berapi yang masih berasap. kami mengambil keputusan kembali ke Bandung dan meneruskan acara window shopping di sana. Berkesempatan singgah di beberapa factory outlet (FO) sebelum makan tengahari di restoran Nasi Padang dan menyambung semula penjelajahan beberapa lagi FO sebelum kembali ke hotel. Selesai mandi isteri aku memesan makanan untuk dihantar ke bilik. Sambil makan menonton rancangan tv. Seperti biasa Hazim orang terawal yang tidur akibat keletihan.

Cuaca di luar hujan lebat tetapi kami tidak merasakan suhu yang terlalu sejuk. Alat hawa dingin terpasang di bilik. Menurut cerita kawan-kawan, suhu di Bandung agak dingin pada malam hari. Malahan menurut mereka lagi suhu di Tangkuban Perahu juga amat sejuk. Ada kalanya boleh mencecah 10 darjah selsius walau pun pada siang hari. Malangnya kami tidak merasakan itu semua. Teringin juga aku untuk merasakan kedinginan suhu sebegitu. Mungkin kunjungan kali kedua nanti kami dapat menikmatinya.
bersambung...

Monday, May 16, 2011

Cuti-cuti Bandung

Percutian kali ini begitu istimewa. Bandung menjadi destinasi percutian seperti yang telah dirancang sejak dari Julai 2010. Walau pun kali pertama ke sana, kami tidak menggunakan agensi pelancungan kerana yakin dengan bantuan rakan-rakan yang pernah ke sana. Melalui pengalaman mereka kami merancang percutian kali ini secara sendirian. Segala-galanya diuruskan sendiri melalui telefon yang nombor-nombornya diperolehi melalui samada carian internet atau rakan.
Kami memulakan perjalanan dari rumah menuju ke KLIA pada pagi hari 28 April 2011 sekitar jam 7.00 pagi. Walau pun pesawat hanya akan berlepas jam 12.30 tengahari, tetapi terpaksa bergerak awal kerana hari tersebut adalah hari bekerja dan untuk mengelakkan kesesakan lalulintas di beberapa kawasan.

Hari Pertama


Penerbangan dengan pesawat MAS tepat mengikut jadual dan jam 1.10 petang waktu Indonesia Barat, (perbezaan masa 1 jam) pesawat mendarat di lapangan terbang Antarabangsa Husein Sastranegara, Bandung. Proses daftar masuk yang dilakukan oleh pihak imigresen Indonesia agak lambat. Hanya 2 kaunter sahaja dibuka untuk urusan mengambil gambar dan cap jari penumpang. Menurut sumber ianya adalah proses anti pengganas yang di lakukan oleh kerajaan Indonesia. Setiap pelawat yang mengunjungi negara itu akan diambil gambar dan cap jarinya sebagai pengenalan diri. Saya tidak pasti samada proses ini akan dibuat untuk pelancung yang sering melawat negara itu.

Selesai urusan di lapangan terbang, pemandu kami terus membawa ke Hotel Guntur dimana hotel itulah menjadi tempat penginapan selama beberapa hari di Bandung. Dia mencadangkan agar kami mengambil apartment kerana kami 2 keluarga. Kami bukan pergi 4 beranak sahaja kerana turut ditemani rakan sepejabat isteri aku yang juga membawa keluarganya. Tapi kami menolak pelawaannya kerana hotel yang kami tempah telah di tinjau dahulu lokasi dan kemudahan yang ada. Menurut rakan yang pernah menginap di situ jaraknya tidak jauh dengan Pasar Baru. Sesampainya di hotel, supir kami sempat menunjukkan lokasi Pasar Baru yang memang menjadi kegilaan wanita yang ingin membeli belah. Hanya lebih kurang 500 meter sahaja dari hotel penginapan. Isteri aku cukup teruja kerana jarak yang sedekat itu membolehkan dia berjalan kaki sahaja ke sana.

Bangunan yang kelihatan berbumbung dibelakang adalah Pasar Baru
Selepas daftar masuk ke hotel, berehat sebentar sambil mengalas perut dengan bekalan yang kami bawa. Kerana tidak tahu tempat untuk mencari makan kami telah bersedia dengan membawa makanan ringan dan air mineral untuk bekalan sepanjang 4 hari di sana. Tujuannya kerana bimbangkan kebersihan dengan makanan yang dijual. Sekitar jam 3.30 petang kami keluar berjalan kaki menuju ke Pasar Baru. Perjalanan yang dekat tetapi cukup sesak dengan orang ramai. Sepanjang kali lima bangunan kedai dipenuhi dengan peniaga yang melambakkan barang jualan. Kaki lima yang sepatutnya selesa dilalui menjadi sempit dan menyukarkan perjalanan.  Tapi begitulah negara yang mempunyai ramai penduduk. Setiap orang berebut mencari peluang mencari rezeki sebagai nafkah hidup. Peraturan tidak berguna jika perut tidak dapat diisi.

Hampir 2 jam di situ kami bergerak pulang ke hotel. Perniagaan di Pasar Baru di tutup awal, sekitar jam 5.00 petang. Bagaimana pun masih ada peniaga yang menutup perniagaan mereka jam 6.00 petang. Cuaca di Indonesia Barat  cepat gelap. Mungkin sebab itu mereka menutup perniagaan. Berbeza dengan kita di Malaysia, ada peniaga yang memulakan perniagaan jam 8.00 malam sehingga subuh seperti di Uptown. Malam itu kami berehat di hotel dan tidur agak awal kerana keletihan.
Bersambung.....