![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgEnlp-pD0PYR1CWcb9OvKXztiw52pmXnQg1Cvine25F1lLbB5Uk09yYvOT1C14GbwXa3sl0IFpn1-nuN_Uwn5CkJyd1bs6YrLP2uyBXdafxRYJVDYI5xt8VBOJF3clrf7A_r6ehQ/s320/Signboard.jpg)
Aku memang telah biasa memandu menggunakan jalan-jalan ini samada memilih menggunakan LPT - Kuala Terengganu atau terus ke Gua Musang melalui Raub ke Kuala Lipis. Bagaimana pun aku lebih memilih melalui Gua Musang kerana jalan yang bakal dilalui agak redup sambil melintasi beberapa bandar dan penempatan. Lebih mudah untuk mencari tempat untuk berehat.
Persiapan mental dan proses merawat motorsikal telah dilakukan. Tayar motorsikal yang aku gunakan telah di isi dengan cecair dikuatiri akan terjadi kes tercucuk paku. Ada yang mencadangkan agar aku bersedia dengan pam angin dan kelengkapan untuk menampal kebocoran tayar. Tapi aku lebih memilih cecair yang dimasukkan ke dalam tayar motorsikal kerana ia lebih mudah.
Hari yang ditunggu sudah tiba. Memulakan
perjalanan di awal pagi sekitar jam 5.30 pagi dengan memohon doa agar
perjalanan ini dilindungi Allah SWT. Melalui
Lebuhraya Persekutuan menuju ke Jalan Kucing terus ke DUKE dan
berhenti untuk solat subuh di stesen minyak sebelum melintasi
plaza tol Gombak.
Sekitar
jam 6.45 pagi menyambung kembali perjalanan dan singgah di bandar
Bentong untuk bersarapan. Kebetulan pada hari tersebut akan diadakan
raptai acara perbarisan sempena menyambut Hari Kemerdakaan Malaysia ke
58. Agak ramai orang pada ketika itu.
Usai
bersarapan, aku memulakan perjalanan pada jam 7.30 pagi dan berhenti
mengisi minyak di RnR Benta. Perjalanan melalui Jalanraya Persekutuan
(Route 8) begitu lancar kerana di awal pagi belum banyak kenderaan di
atas jalan raya. Mengekalkan kelajuan 110km/j, aku tidak mahu memandu
laju kerana destinasi yang dituju masih jauh dan tiada apa yang hendak
dikejarkan. Selain itu dengan mengekalkan momentum sebegitu aku dapat juga menikmati pemandangan sepanjang laluan dan lebih penting lagi dapat mengawal degupan jantung (hahahaha sayangilah jantung anda).